Novel aku -Mencari Bintang Bab 1

Aku sendiri tau yang buat muka depan ni!


Bab 1

Tugas aku sebagai pelindung kau













Star City, merupakan salah satu bandar mewah yang hanya didiami oleh orang-orang kaya sahaja,” ujar Puan Midori kepada anak-anaknya. Fumiko hanya merenung ke luar tingkap kereta tanpa mempedulikan kata-kata ibunya. Adiknya, Kohaku bermain dengan robotnya yang dihadiahkan oleh atuk Ichiro.


“Dengar sini, kita beruntung kerana bos mama belikan banglo untuk kita di Star City kerana mama merupakan setiausahanya yang paling berdedikasi.” sambung Puan Midori.


Setelah lama sunyi, tiba-tiba Puan Midori bersuara, “Baiklah, siapa lapar? Mama tiba-tiba teringin nak makan steamboat di Restoran House,”


“Fumi tidak lapar. Hantar sahaja Fumi balik,” Fumiko menongkat dagunya sambil merenung ke luar tingkap kereta.


“Mama, kak Fumi rindukan kawan-kawan di sekolah lamanya,” Kohaku menyampuk. Fumiko hanya mendiamkan diri.


“Baiklah mama faham,” jawab Puan Midori. Lalu memandu keretanya meredah lebuhraya.


“Fumi kena faham dan bersedia untuk menempuh alam persekolahan yang baru esok. Jangan jadi sombong pula, ya?” Puan Midori berkata dengan dengan lemah lembut.


“Di sekolah nanti, pasti mereka yang tidak mahu berkawan dengan Fumi kerana mereka semua anak orang kaya, mempunyai paras rupa yang cantik-cantik, sedangkan Fumi ni biasa sahaja,” Akhirnya Fumiko meluahkan perasaan yang terbuku dalam hatinya selama sekian lamanya.


“Betul tu, kak Fumi. Siapa nak berkawan dengan pelajar empat mata?” Kohaku menyindir. Fumiko sudah lali dengan kata-kata adiknya yang suka mengusik dirinya yang memakai cermin mata.


Puan Midori tersenyum dan membalas, “Siapa kata orang pakai cermin mata ni hodoh? Pakai cermin matalah baru nampak pandai dan bijak,” seloroh Puan Midori.


Kohaku hanya tertawa kecil mendengar kata-kata ibunya. Fumiko mula mengeluh. Dia dan keluarganya baru berpindah ke Star City empat hari yang lepas kerana Puan Midori mendapat kenaikan pangkat. Ayahnya, Encik Satou sudah lama meninggal sejak Fumiko berusia 8 tahun. Penduduk Star City rata-ratanya kaya dan berada sedangkan mereka hanya sederhana. Rumah banglo baru mereka pula merupakan hadiah daripada pengurus ibunya.




“Fumi bolehkah tinggal seorang? Betulkah tak mahu ikut mama, dan Kohaku?” Puan Midori mahukan kepastian dari anaknya.


“Biarlah kak Fumi tak ikut. Dia kan selalu minta yang mahal-mahal?” Kohaku sememangnya seorang yang suka menyampuk.


Fumiko hanya menahan geram. Lalu menjawab, “Tak perlu, mama. Fumi tahu jaga diri.” 


Selepas melambai kepada ibu dan adiknya, Fumiko terus masuk ke rumah banglo dua tingkat itu. Dia mencapai roti dan keju, kemudian dia membancuh air Milo panas untuk sarapan lewat pagi. Sambil makan, dia mengerling ke arah jam di dapur. ‘Dah pukul 11.30 pagi. Aku perlu gosok baju sekolah untuk esok.’ Getus hatinya.


Fumiko mencapai kemeja putih, blazer merah, dan skirt panjang berwarna merah. Itulah uniform pelajar  Unicorn’s High School’. Dia berusia 17 tahun sementara adiknya 10 tahun. Kemudian dia mencapai seterika dan mula menggosok uniformnya. Sebelum menggosok, dia sempat mencucuk pendrive ke radionya untuk mendengar lagu. Sambil menggosok baju, Fumiko memutarkan lagu kegemarannya Fukai Mori nyanyian Do As Infinity.


Sedang menggosok, tiba-tiba dia terdengar bunyi yang bising di dapur. Fumiko terkejut lalu menutup radionya. Dia bersembunyi di belakang pintu biliknya. ‘Tiada sesiapa di rumah ini melainkan aku. Jadi, apa yang berlaku di dapur?’ Fumiko berfikir di dalam hati. Perlahan-lahan dia menuruni tangga ke dapur. Sebaik menjejakkan kakinya di dapur, dia mendapati tiada sesiapa di situ melainkan tompokan-tompokan darah di lantai dapur! 


Fumiko dengan pantas mencapai senduk nasi sambil mengharapkan perlindungan daripadanya. Dia berjengket sambil mengikut jejak tompokan darah sehingga ke ruang tamu. Fumiko terkaku apabila terlihat seorang lelaki yang pelik terbaring di lantai ruang tamu dengan badan penuh luka berdarah. Lelaki itu mempunyai rambut biru gelap yang panjang paras pinggang, pakaiannya pelik macam samurai, pada dahinya terdapat sejenis corak bintang empat segi, telinganya seperti telinga goblin dihiasi anting-anting gelang perak, dan kuku tangannya panjang. 


Dengan menggunakan senduknya, dia menguis sedikit kepala lelaki itu. Sebaik terlihat wajah lelaki itu, jantungnya tiba-tiba berdegup laju. ‘Kacak!’ Jerit hatinya tiba-tiba.


‘Apa nak buat? Apa nak buat?’ Fumiko berfikir sendiri. Lelaki itu masih tidak sedarkan diri. Fumiko risau kalau-kalau lelaki itu akan menyerangnya sebaik terjaga. Apabila terlihatkan luka-luka pada tubuhnya, Fumiko memutuskan untuk merawatnya. Sebelum memulakan sesi rawatan, dia mengikat kedua tangan lelaki itu pada meja kopi sebagai langkah berjaga-jaga. Fumiko mendapati baju lelaki itu kotor dengan darahnya. Tanpa berfikir panjang, dia menanggalkan baju lelaki berkenaan. Matanya tidak melepaskan peluang untuk melihat bentuk badan lelaki itu yang tegap dan sasa. 


‘Kotornya, apa kata aku basuh dulu baju ini?’ Lalu Fumiko meninggalkan lelaki berkenaan dan memasukkan baju itu ke dalam mesin basuh. Sebelum itu, dia sempat menjirus baju itu dengan air. Kemudian dia naik ke bilik stor untuk mengambil kotak rawatan kecemasan dan bawanya ke ruang tamu. 


Sesampainya dia di sana, Fumiko mendapati lelaki tadi sudah hilang! Tali yang mengikat tangan lelaki tadi terputus, tetapi tiada kesan tompokan darah yang baru. Bermakna lelaki berkenaan hanya ghaib begitu sahaja.


“Tapi, bajunya masih ada pada aku. Apa yang patut aku buat? Bagaimana aku mahu pulangkan?” hatinya agak hampa. Dia hanya sempat tolong basuh bajunya. Baru nak merawat, dia sudah pergi. Fumiko terus naik semula ke biliknya sambil memikirkan identiti lelaki pelik itu.




“Seronok kan, makan steamboat tadi? Kak Fumi sangat rugi kerana tidak ikut kami. Sedap gila!” ujar Kohaku dengan nada yang sangat teruja, atau lebih tepat berlagak.


“Tadi di rumah sudah gosok baju sekolah ke belum?” tanya Puan Midori. Fumiko berhenti menyuap nasi. Dia teringatkan lelaki asing yang bertandang sebentar tadi. ‘Siapa dia? Kenapa dia pelik? Kenapa dia boleh cedera teruk? Kenapa dia datang ke sini?’ Bermacam-macam soalan berlegar di mindanya. Nasib baik dia sempat mencuci tompokan darah yang bersepah di dapur.


“Kak Fumi ni, orang tengah tanya, dia mengelamun pula!” jerkahan adiknya membuatkan Fumiko tersentak.


“Ah, er, ya! Sudah, Fumi sudah gosok baju tadi.” jawab Fumiko tersangkut-sangkut.


“Baguslah. Kohaku, kamu pun perlu bersedia untuk menempuh alam persekolahan yang baru esok.” kata Puan Midori kepada Kohaku.


“Jangan risau, mama. Kohaku senang dapat kawan baru. Kak Fumi tu yang patut mama risau.” Balas Kohaku sambil memuncungkan bibirnya ke arah kakaknya. Fumiko yang sedang menghirup sup menghadiahkan renungan tajam yang bermakna ‘Habislah kau nanti!’ Namun Kohaku tidak menghiraukannya.




Lagi lima belas minit sebelum Fumiko bertolak ke sekolah. Fumiko memasukkan bekas pensilnya ke dalam beg. Sewaktu mencari buku tulisnya, dia terpandang baju milik lelaki pelik yang bertandang semalam. Fumiko memegang baju berkenaan. Ia sudah bersih dan digosok dengan kemas.


“Bawa sahajalah. Mana tahu jumpa lagi nanti.” Fumiko meletakkan harapan yang tinggi. Dia mahu berjumpa lagi dengannya. Dia merasakan ada sesuatu yang istimewa mengenai lelaki itu. Wajah lelaki itu menjelma semula di mindanya.


Fumiko menyarung kasutnya sebelum keluar. Kohaku berlari keluar dengan tergopoh-gapah seperti mengejar sesuatu.


“Cepatlah, kak Fumi. Mama dah tunggu dari tadi tahu tak?” Kohaku memarahi kakaknya.


“Alah, yang kau pergi tandas tadi, bukan melambatkan lagi keadaan? Bila dah nak pergi sekolah baru nak mencari tandas. Itu lah sebabnya kakak kata jangan makan sarapan banyak sangat.” balas Fumiko. Selepas itu, dia menggalas beg sekolahnya dan menuju ke arah kereta. Kohaku menjelir lidahnya dari belakang Fumiko.


“Ah, kakak nampak tu! Kau nak kurang ajar?” jerit Fumiko sebaik tiba di kereta.


“Jadi? Kak Fumi kan ada empat mata? Itu pun nak kecoh.” sindir Kohaku sambil meluru masuk ke dalam kereta.


“Pakai tali pinggang semua. Kita akan bertolak sekarang.” Puan Midori memberi arahan kepada anak-anaknya. Fumiko dan Kohaku akur akan perintah ibu mereka.


Unicorn’s High School, aku datang!’ jerit hati Fumiko.




“Apa khabar? Nama cikgu, Satoru. Silalah kenalkan diri kamu.” Ujar guru lelaki kelasnya. Fumiko teragak-agak untuk membuka mulut. Dia melihat semua pelajar di sekolah berkenaan cantik-cantik dan kacak-kacak belaka. Sedangkan dia sederhana. Fumiko berasa segan kerana dia tidak cantik seperti pelajar perempuan lain. Dia juga dapat mendengar suara-suara sumbang bergema dari dalam kelasnya, 5-A.


“Na-na, nama saya, Fu.. Fu… Fumiko, Kobayashi!” akhirnya Fumiko mengeluarkan suaranya.  Encik Satoru berpuas hati dengan jawapan Fumiko.


“Baiklah Fumiko, kamu boleh duduk di tempat kosong belakang tu.” tanpa mahu mendera Fumiko, Encik Satoru menjemput Fumiko duduk di tempatnya. ‘Biasalah pelajar baru.’ kata hatinya.


Fumiko perlahan-lahan menuju ke tempat duduknya. Sewaktu mata Fumiko memerhati kelasnya, tiba-tiba matanya terhenti pada seorang pelajar lelaki yang duduk di belakang yang sedang membaca buku. Jantungnya berdegup kencang. ‘Dialah yang datang ke rumahku semalam!’ Fumiko mengenalinya serta-merta.


Melihatkan pelajar baru yang berupa paras yang sederhana itu berjalan selisih dengannya,  Akane meletakkan kakinya di tengah jalan. Fumiko yang sedang berjalan dan ralit memerhatikan lelaki berkenaan, tiba-tiba tersadung dan mula hilang kawalan.


Namun, Fumiko tidak jatuh. Dia terasa dirinya di tahan seseorang. Fumiko mendongak untuk melihat siapa yang menyelamatkannya. Matanya terbeliak melihat muka lelaki yang asyik diperhatikan tadi, berada dekat dengan mukanya. Rambutnya pendek daripada semalam, kukunya tidak lagi tajam, dan telinganya seperti manusia normal. Tatu bintang segi empat pun tiada.


“A, er. Terima kasih…” Fumiko mengucapkan terima kasih kepadanya. Namun lelaki itu hanya diam dan membetulkan posisi Fumiko sebelum berlalu semula ke tempat duduknya. Fumiko juga berlalu ke tempat duduknya. Dia duduk di belakang sekali di bahagian kanan. Lelaki tadi pula duduk di belakang sekali bahagian kiri. Mereka cuma dipisahkan dengan meja seorang pelajar lelaki lain.


Akane geram kerana Fumiko diselamatkan lelaki pujaannya sendiri. ‘Menyesal aku jatuhkan perempuan tu!’ getus hati Akane.




“Hai, nama saya Hiroshi.” sapa lelaki itu. Fumiko hanya tersenyum. Dia seorang yang tidak pandai bersembang dengan lelaki.


“Nampaknya kita berjiran. Kalau awak nak ronda sekolah ni, awak boleh minta saya tunjukkan.” Hiroshi menunjukkan senyuman yang mesra.


“Saya amat berterima kasih kerana sudi menjadi penunjuk kawasan untuk saya.” Fumiko membalasnya dengan mesra. Namun walau bersembang dengan Hiroshi sekalipun tetap tidak mengganggu perhatiannya kepada lelaki yang duduk di hujung kiri. Fumiko memerhatikannya yang asyik membaca buku dengan kaki yang disilang atas lutut.


Menyedari arah pandangan Fumiko, Hiroshi hanya tersengih. “Nama dia Rikuto. Pelajar perempuan sekolah ni menggelarnya Putera Masam kerana tiada siapa pernah lihat dia tersenyum. Tapi, agaknya itulah sebab dia ada ramai peminat.” Jelas Hiroshi. Dia sempat menjuihkan bibirnya ke arah Akane dan rakan-rakannya. Kelihatan Akane dan rakan perempuannya berbisik-bisik sambil ketawa kecil. Mereka juga asyik mengintai-intai Rikuto.


Fumiko hanya mengetap bibirnya.  Geram melihat perempuan yang tergedik-gedik di hadapannya. Fumiko menarik keluar sedikit bungkusan baju lelaki semalam dari laci bawah meja. Dia melakukannya selepas Hiroshi keluar kelas untuk rehat. Waktu rehat ini, hanya ada dia, dan Rikuto. Akane dan rakan-rakannya sudah keluar sebentar tadi.


‘Baiklah, kelas sudah lengang. Aku perlu pulangkan baju ini secepat mungkin.’ Fikir Fumiko. Namun, dia masih bingung sama ada benar Rikuto yang mengunjungi rumahnya semalam atau tidak. Kalau bukan, ia akan memalukan dirinya! Walau bagaimanapun, Fumiko nekad.


“Nah!” Rikuto mengangkat mukanya. Dia melihat Fumiko menyerahkan sebuah bungkusan plastik sambil menundukkan wajahnya. “Saya rasa awak tertinggal baju awak semalam.” Fumiko masih tunduk. Dia sangat segan apabila berdepan dengan lelaki terutamanya yang kacak seperti Rikuto. Tambah malu sekiranya ini bukan baju miliknya.


Rikuto mengambil bungkusan itu. Tangannya tersentuh tangan Fumiko. Sentuhan itu bagaikan kejutan elektrik buat Fumiko. Tambah pula dengan tindakan Rikuto yang mengambil bungkusan itu. ‘Jadi, baju ni miliknya?’ Fumiko memandang Rikuto dan terkesima melihat senyuman Rikuto.


“Terima kasih. Ingatkan tak kenal.” Rikuto masih tidak putuskan senyumannya. Fumiko hampir pitam mendengarnya. ‘Bagaimana pula Rikuto boleh jadi lain semalam?’ Dia terfikirkannya, namun persoalan itu tidak terkeluar dari bibirnya. 


“Err, kau okey?” soal Rikuto melihat Fumiko yang terkebil-kebil.


“Ha? Saya tak sangka baju itu awak punya.” jawab Fumiko sambil tersengih. “Rikuto…” “Apa, dia kata kau comel?” kata-kata Fumiko dipotong dengan jeritan Akane dari luar. Akane dan rakan-rakannya melangkah masuk ke dalam kelas sambil ketawa mengilai. Fumiko segera berlalu ke tempatnya. Namun, sebelum sempat melangkah, lengannya ditarik Rikuto. Jantung Fumiko tersentap.


“Tadi apa kau nak cakap?” Tanya Rikuto. Fumiko berfikir sejenak. ‘Apa yang aku nak tanya tadi?’ Kemudian dia tersedar renungan maut dari Akane. Barulah dia sedar yang Rikuto masih belum melepaskan lengannya.


Fumiko menarik lengannya dan menjawab, “Nanti saya beritahu.” Sepantas kilat dia ke mejanya. Dia dapat merasakan bahang kepanasan memenuhi ruang kelas 5-A. Namun, dia tidak sedar yang gerak-gerinya telah diperhatikan oleh Hiroshi sedari tadi. Hiroshi mengepal penumbuknya.




‘WAH! Kenapa aku seorang sahaja yang belum siap!?’ Fumiko menggaru kepalanya sambil menyiapkan latihan matematik tambahan. Pelajar lain sudah pulang dari sekolah. Cikgu Satoru sedang menunggunya. “Tidak mengapa, Fumiko. Cikgu sanggup tunggu sini sampai malam pun.” Seloroh cikgu Satoru. Fumiko hanya tersenyum kelat.


Rikuto yang siap paling awal, bangun dan mengemas begnya. Fumiko perasan sedari tadi memang Rikuto menunggunya. ‘Mungkin kerana apa yang aku nak tanyakan tadi.’ Fumiko tidak dapat hentikan Rikuto. Dia perlu menyiapkan latihan ini segera supaya dia dapat bertanyakan apa yang bermain di mindanya.


Rikuto terus berjalan keluar dan hilang dari pandangan. Tangan Fumiko semakin laju menulis. Dia tidak peduli betul atau salah kerana dia memang bukan pandai dalam matematik tambahan pun. Setelah siap, Fumiko bergegas mengemas begnya  dan menghantar buku latihan.


“Eh, cepatnya siap! Tak ada masalah ke?” soal cikgu Satoru kehairanan.


“Tak ada cikgu. Lagipun saya perlu lekas balik. Bye, terima kasih cikgu.” Fumiko bergegas keluar dari kelas cuba mengejar Rikuto. Dia harap lelaki itu tidak pergi jauh.


Fumiko berada di luar sekolah. Keadaan di sekolah sudah lengang. Fumiko mengilas jam tangannya. ‘Sudah 2.20 minit. Pasti Rikuto sudah balik.’ Getus hati Fumiko. Dia hampa. ‘Tidak mengapa, esok kan jumpa lagi.’


Fumiko berjalan kaki pulang ke rumah. Kalau dia keluar awal tadi, pasti dia tidak berjalan seorang begini.  Tiba-tiba, dia terasa hembusan angin yang kencang. Fumiko terundur ke belakang. Dia terlihat seekor naga merah sepanjang 50 kaki yang sedang terbang betul-betul di atasnya! Fumiko terduduk. Mulutnya melongo. Dia hanya terkaku melihat naga itu berdiri di hadapannya dan mengecil. Kini, naga itu hanya setinggi tiga setengah meter.


Adakah kau yang memegang Seryoku no hoshi?” kedengaran suara garau keluar dari paruh naga itu. Fumiko mencubit pipinya. ‘Adakah naga ini baru sahaja bercakap?’ Dia tidak percaya dengan apa yang baru didengarnya.


Geram akan kelewatan Fumiko memberikan jawapan, naga itu terus menerkam Fumiko. Fumiko kaget kerana naga itu tersembam di atasnya. “Nanti! Saya tidak tahu apa yang awak cakapkan!” jerit Fumiko. Dia tidak dapat melawan naga yang berkulit sisik lagi keras itu.


Jangan tipu! Aku boleh merasakan tenaganya dari kau. Aku mahu mengambilnya.” Naga itu membuka mulutnya. Fumiko hanya menahan nafas menanti ajalnya.


Tiba-tiba, Fumiko terdengar naga itu mengaum kesakitan. Fumiko membuka mata. Leher naga merah itu terdapat kesan potong dan darah mengalir laju. Pada waktu itu juga, Fumiko terlihat lelaki berambut biru panjang yang datang ke rumahnya semalam.


“Rikuto…” Fumiko mengalirkan air mata. Rikuto memandangnya serius. Pada pedangnya terdapat kesan darah. Rikuto berada dalam transformasi raksasa seperti ketika dia berada di rumah Fumiko semalam.


Tu-tuanku! Saya tidak bermaksud---“, Rikuto memancung leher naga itu tanpa sempat menghabiskan ayatnya. Kepalanya putus berlumuran darah. Fumiko menelan air liur. ‘Dia seorang pembunuh!’ Fumiko mula risau akan dirinya.


Rikuto menyarung pedangnya dan beralih kepada Fumiko yang masih kaku. “Ini semua untuk melindungi kau juga.” Ujar Rikuto. Wajahnya masih tenang.


Fumiko tidak puas hati. “Tapi naga itu baru mahu berkata sesuatu, awak sudah bunuh dia.” Rikuto memandang sekilas bangkai naga itu yang kemudiannya bertukar menjadi debu dan ditiup angin.


“Dia cuba mencederakan kau, dia patut dibunuh. Lagipun kita tak sepatutnya percayakan naga. Mereka bukan baik dengan manusia.” Jawab Rikuto. Fumiko hanya mengerutkan kening.  Tidak faham dengan kata-kata Rikuto.


Rikuto faham akan keadaan Fumiko yang kelihatan masih trauma. “Beginilah, apa kata kau ikut aku. Aku akan terangkan semuanya, dan jawab semua soalan kau. Lagipun semua ini ada kaitan dengan kau juga.” Fumiko masih mengerutkan dahinya.


“Okey, ke mana?” Fumiko bertanya.


Rikuto memeluk tubuh. “Ke istana aku.” Jawapan itu membuatkan Fumiko tercengang. ‘Apa, dia ada istana pula?’ Tiba-tiba dia teringat naga tadi ada memanggilnya, ‘Tuanku,’ Kenapalah aku tidak menyedarinya? Getus hati Fumiko.


“Di mana istana awak?” soal Fumiko yang tidak tahu apa lagi mahu ditanya. Rikuto menunjukkan jari telunjuknya ke langit. Fumiko mendongak.


“Habis bagaimana mahu ke sana?” soal Fumiko lagi. Tiba-tiba Rikuto mendekati Fumiko dengan kelajuan sepantas cahaya kemudian dia mengendong Fumiko dan melompat tinggi ke atas langit. Fumiko hanya mampu menjerit dan memaut leher Rikuto dengan erat. Dia tidak dapat melakukan apa-apa memandangkan tindakan Rikuto yang secara tiba-tiba itu.


Beberapa lama kemudian, mereka mendarat. ‘Mendarat? Atas apa?’ Rikuto melepaskan Fumiko. Fumiko mengaduh kesakitan akibat terjatuh atas sesuatu yang pejal. Dia bingkas bangun.


“Sampai hati awak! Sakit tau, punggung saya macam nak patah.” Fumiko memarahi Rikuto, namun reaksi Rikuto tidak berubah langsung.


“Aku tak tahu pula badan manusia ni lemah sangat. Baru kena sikit, dah sakit macam nak patah punggung konon.” Rikuto menyindir. Fumiko terkejut dengan kenyataan Rikuto.


“Maafkan saya? Awak ni apa sebenarnya?” Fumiko menolak perasaannya terhadap Rikuto kerana terlalu geram dengan tindakan selamba lelaki itu.


Rikuto tidak menjawab. Sebaliknya dia berjalan menuju ke sebuah rumah agam yang tersergam di hadapan mereka. Barulah Fumiko perasan bahawa dia di dunia yang asing dengan hutan yang sangat tebal, langit yang kekelabuan, dan bunyi-bunyi yang pelik memenuhi suasana itu. Seram dengan keadaan itu, dia segera membuntuti Rikuto dan masuk ke dalam rumah agam  itu di hadapannya.


‘Barangkali inilah istana Rikuto yang dia katakan itu.’ Fumiko menggumam di dalam hati. Rumah itu tidak seperti istana yang dia pernah lihat. Ia lebih seperti rumah agam yang agak besar dan kelam.  Rumah itu terdapat beberapa menara dan dua blok. Ia juga terdapat 2 tingkat dan mungkin ada lagi di bawah tanah. Namun, apa yang boleh dilihatnya, hanya terdapat empat pembantu rumah, tidak padan dengan rumah yang besar. ‘Tapi, mungkin ada lagi yang lain.’


“Apa yang kau tengok-tengok tu?” tegur Rikuto yang berdiri di hadapan sebuah pintu yang besar dan tinggi.


“Aa, besar betul rumah, eh! Istana awak.” Jawab Fumiko yang hampir tersasul. Rikuto tidak mengendahkannya lalu memasuki pintu tersebut dan meninggalkannya terbuka sedikit. Fumiko mengagak bahawa dia perlu ikut Rikuto memasukinya.


Sebaik melangkah masuk, dia terpana seketika melihat barisan patung berpasangan berwarna putih yang cantik dalam bilik, atau dewan yang luas dan besar itu. Pada dindingnya pula terdapat lukisan mural seperti sebuah cerita pada setiap belakang patung.


“Cantik!” ujar Fumiko tanpa sedar. Rikuto tiba-tiba tersenyum kecil mendengarnya. Namun nasib baik baginya kerana Fumiko tidak sedar akan senyuman Rikuto.

“Patung ini semua adalah sejarah orang-orang seperti kau. Suatu hari nanti, patung kau akan berada di sini.” Jelas Rikuto.


Fumiko tergamam. “Apa yang mereka lakukan? Kenapa patung saya pun akan berada di sini?” soal Fumiko yang mula risau.


Rikuto tersengih. “Aku belum habis lagi. Patung kau akan berada di sini kalau kau berjaya buat sesuatu yang baik kepada dunia ini lah.” Fumiko merenungnya. Ternyata dia tidak memahami apa yang didengarinya dan apa yang berlaku.


“Mari sini.” Rikuto menuju ke arah patung yang paling hujung. Fumiko menurutinya. Dia dapat melihat dua patung lelaki yang berdiri bersama yang juga merupakan patung paling akhir. Tidak semua patung berpasangan berlawanan jantina. Ada patung lelaki dan lelaki, dan sebaliknya. Patung di hadapan Fumiko dan Rikuto sekarang adalah seorang lelaki yang memegang pedang yang dijulang ke udara. Pakaiannya seperti pakaian samurai diraja. Di sebelahnya adalah seorang lelaki berpakaian jubah yang menutup kepalanya, sambil memegang kalung manik.


“Eh, nanti dulu.” Fumiko berbisik sendiri. Dia sedar semua patung memakai pakaian yang lebih kurang serupa. Setiap pasangan ada seorang yang memakai pakaian pahlawan, dan seorang lagi memakai jubah.


“Jadi kau dah perasan?” soal Rikuto.


“Siapa mereka ni?” Tanya Fumiko.


“Yang memakai baju pahlawan itu ialah raja pada zaman mereka, ataupun moyang-moyang aku. Manakala, yang memakai jubah itu pula pendeta yang sangat berkuasa. Gabungan mereka berdua berjaya mengamankan dunia dan menamatkan perang.” Jelas Rikuto. Fumiko mengangguk faham.


“Semua pendeta ini mempunyai kuasa yang dipanggil Seryoku no Hoshi ia merupakan kuasa yang sangat tinggi yang membuatkan semua makhluk berlumba untuk mendapatkannya agar dapat menguasai dunia. Berabad dahulu, manusia dan raksasa berperang untuk mendapatkan kuasa memerintah dan Seiryoku no Hoshi. Namun ia dapat diselesaikan oleh permaisuri pari-pari yang menetapkan bahawa kuasa Seryoku no Hoshi akan diturunkan kepada manusia, manakala kuasa memerintah pula kepada raksasa. 


Bukan itu sahaja, ia bagi merapatkan hubungan antara dua makhluk ini memandangkan mereka perlu saling bergantungan antara satu sama lain. Selain itu, Seryoku no Hoshi hanya boleh dikendalikan oleh manusia sahaja memandangkan mereka  mempunyai kekuatan emosi dan rohani. Kuasa ini akan dilahirkan semula dari badan manusia yang lain selepas pemegang sebelumnya mati. Namun ia boleh ambil masa berpuluh tahun juga untuk dilahirkan semula.” Rikuto berhenti bersuara.


“Jadi? Apakah yang berkaitan dengan saya?” soal Fumiko. Dia faham semua cerita Rikuto.


“Baiklah, kau adalah pemegang Seryoku no Hoshi yang baru. Aku pula perlu bergabung tenaga dengan kau.” Ujar Rikuto. 


“Apa? Saya? Mana pula awak tahu?” Fumiko tidak tahu apa yang berlaku. Baginya, dia tiada kaitan dengan semua ini.


“Tahulah, semua raksasa tahu kau memegangnya. Ini kerana deria bau dan tenaga kami yang luar biasa. Itulah sebabnya aku bersekolah di dunia manusia semata-mata untuk mencari kau agar tidak jatuh ke kuku raksasa lain” Jawab Rikuto.


“Patutlah, naga tadi boleh tahu. Kuasa Seryoku no Hoshi tu macam mana nak guna?” Fumiko semakin teruja. Dia teringin untuk menggunakan kuasanya yang terpendam.


“Manalah aku tahu. Aku dengar pemegang kuasa ini bermeditasi untuk mencapai kekuatan rohani yang maksimum untuk mengaktifkan kuasa, nanti pandai-pandailah aktifkan kuasa kau. Sekarang aku nak hantar kau balik. Aku dah jelaskan semuanya.” Rikuto beredar. Fumiko terkejut dengan kata-kata Rikuto itu. Dia mengejarnya.


“Nanti dulu, apa pula tugas awak?”


Rikuto memandang Fumiko tanpa senyuman. “Tugas aku sebagai pelindung kau.”

No comments:

Post a Comment