Mencari Bintang Bab 2

Rikuto versi manusia (kiri) dan versi raksasa (kanan)

Dia bukan tunang aku




Fumiko sedang bersendirian di dalam biliknya. Dia teringatkan semula sewaktu dia berada di istana Rikuto. Dia juga sudah puas bermeditasi namun dia tidak dapat mengaktifkan kuasanya. Sebaik mencecah tanah bumi ketika Rikuto menghantarnya pulang, lelaki itu sempat berpesan agar tidak mempercayai mana-mana orang asing di sini. Ternyata lelaki itu sangat melindunginya. 

Fumiko duduk di atas katilnya, kemudian duduk di atas kerusi, kemudian di atas lantai, kemudian berdiri di hadapan tingkap. ‘Hish, apakah yang harus aku lakukan sekarang? Aku sudah bermeditasi tapi masih tak dapat mengaktifkan apa-apa kuasa pun.’ Fumiko memandang ke atas langit malam.

‘Apa yang lelaki itu sedang lakukan sekarang? Mungkin dia sedang berbaring di atas tilam katilnya yang empuk dipenuhi kelopak-kelopak bunga ros. Di sebelah kirinya pula ada pemain biola yang memainkan lagu untuknya tidur manakala di sebelah kanannya pula ada gadis cantik yang sibuk melayannya.’ Jauh benar angan-angan Fumiko itu.

“Apa ni? Kenapa termenung tu?” soal ibu Fumiko sebaik masuk ke dalam biliknya.

“Fumi tidak tahu nak buat apa sekarang.” Fumiko memaksudkan bahawa dia tidak tahu apa yang harus dilakukan untuk mengaktifkan kuasanya.

“La, dah pukul 11.45 malam dah. Tidur saja lah sekarang.” Ujar Puan Midori kemudian keluar dari bilik anaknya. Fumiko pun mendengar kata ibunya lalu segera baring dan tidur.


RIKUTO?”

“Hmm?” Rikuto hanya mendengus. Seekor kucing kecil mendekatinya. Kucing itu berwarna putih dan sedikit merah jambu bercorak seakan kucing siam.

“Apa kau buat di sini?” soal Rikuto tanpa membuka matanya. Kucing kecil itu melompat ke atas katil Rikuto dan memanjat ke atas dada Rikuto. Rikuto hanya membiarkannya. Kucing itu berbaring di atas dadanya.

“Aku dengar kau ada bawa seseorang masuk istana ni.” Kedengaran suara seorang wanita dari mulut kucing itu.

“Kau belum jawab soalan aku. Apa yang kau buat di sini? Kan aku nak tidur ni.” Rikuto mengangkat lengannya bagi menutup matanya. Kucing itu tersenyum.

“Oh, kalau manusia itu masuk boleh pula. Kenapa aku tidak?” Rikuto membuka matanya dan memandang mata kucing itu.

“Kerana dialah manusia yang terpilih. Kau pula tolong keluar, adalah satu kesalahan bagi seorang perempuan masuk bilik lelaki lain.” Rikuto bersuara tegas. Serta-merta kucing itu bertukar kepada seorang gadis yang cantik berambut merah jambu cair yang panjang dan ditocang kembar di depan. Rikuto sekali lagi menutup mata dengan lengannya.

“Habis? Perempuan manusia boleh pula. Lagipun aku ni bukan perempuan tapi aku ni kucing.” ujar perempuan itu sambil memainkan jarinya di atas badan Rikuto.

Rikuto menolak perempuan itu jatuh dari katilnya. Perempuan itu sempat mengimbangkan badannya sebelum jatuh tersembam.

“Sudah lah, Nekora. Baliklah. Bukannya tidak pernah aku cakap yang aku tidak akan cintakan kau. Lagipun buat apa kau sibuk mempersoalkan pasal manusia tadi? Suka hati aku lah nak bawa siapa pun masuk.” Rikuto mengetatkan tali baju tidurnya yang longgar.

“Aku tidak risaukan kerana dia manusia. Tapi kerana dia adalah PEREMPUAN.” Balas Nekora. Rikuto hanya memadang Nekora dengan pandangan yang kosong.

“Baliklah. Sebelum aku sendiri yang hantar kau.” Bisik Rikuto dengan nada tegas. Nekora hanya tersenyum sinis. Kalaulah dia benar-benar akan hantarnya pulang. Namun, Nekora lebih bijak. Dia tahu Rikuto tidak akan bermaksud untuk menghantarnya.

“Okey, aku datang ni nak tuntut tarikh perkahwinan kita.” Nekora bersuara lembut dan bernada romantis. Dia segera bangun dan duduk di atas katil di hadapan Rikuto dan menyilangkan lututnya. Nekora tersenyum nakal kerana sengaja menyilangkan kakinya dan mendedahkan paha putih gebunya dilindungi seluar hitam pendeknya.

“Baru sahaja tadi aku kata yang aku tidak cintakan kau. Buat apa aku nak kahwin dengan kau?” Sebaik habis berkata, dia melepaskan satu keluhan panjang.

“Sudah tentulah kau mesti berkahwin dengan aku. Aku puteri kerajaan kucing, dan kau sendiri rakan baik abang aku. Perkahwinan kita akan menyatukan kuasa yang kuat.” Ujar Nekora sambil melingkarkan tangannya pada pinggang Rikuto. Tetapi Rikuto bangun. Dia berjalan menuju ke balkoni. Nekora memasamkan mukanya. Sudah bermacam cara dia lakukan untuk memenangi hati putera yang sangat berkuasa ini tetapi lelaki ini hati batu. Susah nak cair dengan perempuan.

“Huh, jadi kau nak berkahwin kerana kerajaan aku semata-mata? Sedarlah. Semua ini milik aku seorang kerana aku tidak akan berkahwin.” Kata-kata Rikuto mengundang gelisah di dalam hati Nekora.

“Tak kan kau tak nak kahwin langsung? Macam mana kau boleh jadi lelaki batu, hah? Hairan aku. Bukan aku sahaja yang mencuba, tapi ramai lagi perempuan lain yang cuba mengurat kau. Namun, kau ni, memang keras. Muka tiada perasaan macam itu lah dengan semua orang, semua perempuan, semua makhluk. Entah-entah kau bukan lagi seorang jantan.” Nekora meluahkan rasa tidak puas hatinya. Rikuto berpaling lalu mendekati Nekora. Nekora tersedar dan tiba-tiba berasa berdebar jantungnya. Dia berhenti sebaik berada di hadapan Nekora. Nekora memejamkan matanya dan membiarkan Rikuto memegang dagunya. Nekora membuka mata cuba untuk bertentang mata dengan Rikuto.

“Kerana aku tidak akan jatuh ke tangan makhluk yang dipanggil perempuan. Aku lebih kuat dan lebih berkuasa dan tidak akan tewas ke dalam lembah ‘syurga’ yang kalian cipta.” Sebaik membisikkan kata-katanya, Rikuto menolak Nekora jatuh dari katilnya. Nekora tidak dapat mengimbangkan badannya lalu jatuh terduduk. Dia masih terkejut mendengar kata-kata Rikuto yang bernada serius itu. Dia bangun dan mahu beritahu sesuatu tetapi membatalkan niatnya sebaik melihat tubuh yang sedang nyenyak tidur itu.

Nekora menggigit bibirnya menahan geram lalu keluar dari bilik lelaki itu.


Fumiko berada di tempat duduknya di dalam kelas. Sementara menunggu kedatangan guru yang bakal mengajar, dia membuka sebuah novel yang di bawa dari rumah lalu di baca. 

“Apa ni?” Fumiko mengangkat mukanya dan terpandang Hiroshi di hadapannya.

“Buku lah.” Fumiko menjawab sepatah. Hiroshi tidak berpuas hati. Dia cuba bertanya lagi.

“Yalah, buku. Buku apa awak baca? Apa tajuknya?”
“Novel biasa sahaja. Tajuknya ‘Groosham Grange.’”

“Best tak?” Hiroshi mula menarik kerusinya dan duduk di sebelah Fumiko mengharapkan sinopsis cerita novel yang menarik perhatiannya.

“Saya tak tahu macam mana nak ceritalah sebab buku ni bahasa Inggeris. Lagipun saya baru baca 19 muka surat sahaja.” Balas Fumiko. Jawapannya telah mengundang kekaguman Hiroshi. Kemudian Fumiko terlihat Rikuto hanya duduk di tempatnya membaca buku seorang diri sementara rakan kelasnya yang lain tak ada pun yang memegang buku di tangan kerana semuanya sibuk bersembang dengan rakan lain.

“Rikuto itu memang selalu sangatkah berseorangan begitu?” soal Fumiko. Hiroshi mendiamkan diri menahan geram. Namun dia harus juga menjawab pertanyaan Fumiko.

“Ya, selalu begitu. Dalam kelas memang dia kera sumbang. Dia tidak mahu bercakap dengan sesiapa kecuali bila perlu. Dan bila dia bercakap dia akan cakap sahaja tapi tidak pernah berlebih-lebihan. Baginya kita hanya perlu bercakap benda yang berfaedah sahaja.” Sebaik habis berkata Hiroshi melepaskan tawa kecil.

Fumiko tersenyum. Ini kerana hanya dia yang mengetahui rahsia Rikuto yang bukanlah manusia. ‘Mungkin dia berasa kekok apabila bersama manusia. Tapi oleh kerana tujuannya bersekolah di dunia manusia adalah untuk mencari aku, apa yang harus dilakukannya selepas jumpa aku?’

“Tapi kan,” Fumiko mematikan lamunannya sebaik mendengar suara Hiroshi. “..Dia sangat pandai dan berapa banyak kali dah dia dapat anugerah pelajar cemerlang kerana prestasi akademiknya yang sangat mengagumkan, tambahan lagi dengan penglibatannya dalam sukan juga sangat hebat. Macam-macam sukan dia yang kuasai di samping atlet sekolah yang terkenal, Fuzei. Mereka berdua lah atlet sekolah ni yang handal, cuma Fuzei tidak berapa cemerlang dalam akademik. Walaupun rupanya memang kacak dan diminati ramai pelajar perempuan, dia tidak dapat menandingi Rikuto yang turut menjaga kecemerlangan akademiknya. Fuzei pula lebih mementingkan penjagaan badan kerana itulah tubuh dia lebih sasa.” Tambah Hiroshi. Fumiko mengangguk faham. Banyak yang dia tahu mengenai Rikuto daripada Hiroshi. Itulah gunanya dia berkawan dangan Hiroshi. Dia dapat kenal orang lain tanpa perlu berkawan dengan mereka. Hiroshi kenal semua orang walau guru-guru sekali pun.

“Lagi? Bagaimana dengan Akane?” Fumiko turut ingin mencungkil maklumat mengenai Akane yang tidak menyukai dirinya sejak mula berjumpa.

“Akane? Dia hanya seorang diva sekolah. Dia tidak mempunyai sebarang pencapaian yang membanggakan dalam akademik ataupun sukan. Namun, dia pelajar yang paling terkenal di sekolah kerana banyak mewakili sekolah dalam pertandingan nyanyian dan pertandingan model.” Fumiko mengangguk lagi.

“Jadi, bagaimana dengan Hiroshi?” Fumiko sengaja menyoal. Hiroshi hanya tersengih sambil menggaru belakang kepalanya yang tidak gatal.

“Okey, Hiroshi ni pula biasa sahaja. Dia tidak kacak mana, tetapi dalam akademik dia memang pakar dalam Kimia dan Matematik. Dalam sukan, dia cuma tahu lontar peluru je. Tapi satu benda yang tiada siapa tahu, dia ni sangat suka memasak dan boleh masak macam-macam.” Kembang-kempis hidung Hiroshi menyenaraikan kehebatannya yang tidak seberapa itu. Fumiko tergelak kecil.

“Tak sangka awak tahu memasak.” Ujar Fumiko yang teruja.

“Bukan sekadar tahu. Tapi pandai, tau? Beza tu tahu dan pandai.” Jelas Hiroshi sambil tersengih.

“Yalah, saya sedar yang saya cuma tahu memasak, bukan pandai mana pun.” Fumiko merendah diri. Hiroshi terasa bersalah kerana mengeluarkan kata-kata yang hanya membanggakan dirinya sahaja.

“Alah, daripada awak tak tahu langsung lebih baik tahu walau sikit pun.” Hiroshi cuba menenangkan hati Fumiko. Fumiko tersenyum. Senyuman Fumiko serta-merta melegakan hati Hiroshi.

Tiba-tiba kelas Fumiko yang riuh-rendah tadi bertukar senyap dan kelihatan semua pelajar beredar ke tempat duduk masing-masing. Hiroshi turut menarik kerusinya semula ke mejanya sebaik kelibat Cikgu Satoru muncul di pintu kelas.

“Baiklah, hari saya nak buat sedikit ujian matematik tambahan.” Cikgu Satoru bersuara sebaik meletakkan barangnya di atas meja. Terdengar beberapa keluhan yang terbit dari ramai pelajar kelas itu. Salah seorangnya ialah Fumiko. Cikgu Satoru hanya tersenyum faham akan maksud keluhan mereka.

‘Habislah, inilah satu-satunya subjek yang aku paling benci. Sudah lah aku tidak sempat mengulangkaji topik ini semalam.’ Rungut Fumiko dalam hatinya.

“Yalah, dah bermacam cara saya buat, kamu semua masih tidak reti menjawab macam saya tak pernah ajar. Sekurang-kurangnya 5 topik yang kamu perlu kuasai untuk lulus. Hari ini saya akan tuliskan soalan daripada topik wajib skor di papan putih. Kemudian saya akan panggil seorang demi seorang untuk jawab soalan di hadapan. Setiap yang saya panggil ni berdasarkan kerja mereka semalam. Saya ada tulis senarai nama mereka.” Sebaik habis berkata, Fumiko tersedar yang cikgu Satoru memandangnya sambil tersenyum.

Fumiko teringat semalam dia mahu lekas menyiapkan kerja matematik tambahannya agar dapat berjumpa Rikuto. Fumiko menepuk dahinya berkali-kali. Dia tahu kebanyakan soalan dia main hentam sahaja jawapannya bagi cepat siap. Cikgu Satoru pula beria-ia menulis 5 soalan di hadapan. Sebaik siap, dia meneliti kertas senarai nama pelajarnya. Pelajar-pelajar lain pula sibuk menyelak buku teks, manakala ada yang cuba mengira dengan kalkulator, ada pula yang pandai, duduk goyang kaki sambil memeluk tubuh, antaranya Rikuto.

“Baiklah, soalan pertama saya nak Tsubaki Kasugano, soalan kedua Mirai Fujioka, soalan ketiga pula Kaito Mitsukuni, keempat Toushiro Gakusei, dan soalan akhir pula Fumiko Kobayashi. Sila keluar dan jawab soalan di hadapan.” Ujar Cikgu Satoru. Lalu kelima-lima orang tersebut melangkah lemah ke hadapan.

Setelah 5 minit kemudian, tinggallah Fumiko seorang di hadapan. Fumiko terasa semua mata memandangnya. Itu salah satu sebabnya dia tidak dapat menyelesaikan soalan yang diberi. Tambahan lagi, dia memang tidak tahu menjawab soalan itu. Entah berapa kali sudah dia tulis dan padam, tulis dan padam, tulis dan padam. Dia sendiri tidak tahu apa yang dia tulis.

“Soalan senang tu pun tak boleh jawab?” Fumiko terdengar suara sumbang yang dikenalinya milik Akane. Kemudian dia terdengar beberapa suara ketawa mengekek.

“Tidak mengapa Fumiko. Baiklah, siapa…” cikgu Satoru terhenti kata-katanya apabila Rikuto bangun dari mejanya. Pelajar lain turut menoleh melihat siapakah gerangan yang bangun itu. Fumiko turut sama terkejut dengan tindakan Rikuto. Rikuto berjalan ke depan dan mengambil marker pen yang dipegang Fumiko lalu menyelesaikan soalan Fumiko. Setelah siap, dia memberi semula marker pen kepada Fumiko.

“Terima kasih, Rikuto.” Bisik Fumiko. Rikuto benar-benar seorang penyelamat!

“Tak mengapa, apa pun jangan fikir aku tolong secara ‘percuma’.” Balas Rikuto separuh berbisik. Fumiko terkedu mendengar perkataan terakhir itu. Rikuto terus berjalan menuju ke mejanya. Fumiko lantas bergerak ke tempat duduknya.

“Bagus, Rikuto. Jawapan yang bagus dan lengkap. Seperti yang di jangka daripada seorang pelajar cemerlang kita.” Puji Cikgu Satoru sambil memeriksa jawapan yang ditulis pada papan putih. Namun, Fumiko sedar yang Rikuto tidak mengukir sedikit pun senyuman.


KAU, Fumiko kan?” Fumiko menoleh mencari tuan empunya suara yang memanggilnya. ‘Bukankah sekarang waktu balik? Aku ingat aku seorang saja di koridor ni.’ Dia menutup lokernya. Kemudian barulah dia terlihat seorang gadis cantik yang sedang berpeluk tubuh dan merenung tajam ke arahnya. Gadis itu berambut merah jambu cair yang panjang dan terdapat dua tocang di hadapan. Pakaiannya pula tidak menunjukkan dia seorang pelajar sekolah.

“Ya. Kau siapa?” Fumiko hairan kerana gadis yang tidak dikenalinya itu tahu namanya. Gadis itu tersenyum menunjukkan sebaris giginya yang sempurna namun cukup untuk memperlihatkan dua batang gigi taring yang pelik bagi Fumiko. Fumiko sedar yang dia bukan berhadapan dengan manusia.

“Jumpa, pun. Jadi kaulah pendeta yang menjaga kuasa bintang itu. Tak ada lah cantik mana pun.” Kata gadis itu dengan sombongnya. Wajahnya tidak lekang dengan senyuman jahatnya. Fumiko berasa takut sekiranya gadis itu akan cuba mengapa-apakannya untuk mendapatkan kuasa bintang miliknya.

“Tak perlu takut, Fumiko. Nama aku Nekora, seorang puteri dari kerajaan kucing dan… Merupakan tunang raja Rikuto.” Nekora tersenyum panjang tatkala menyebut ayat terakhir tadi. Fumiko mengerutkan dahinya. ‘Rikuto tak cakap pula dia dah bertunang. Ah, aku pun baru kenal dia sehari dua, takkan dia nak cerita semua berkenaan peribadinya kepada orang macam aku ni.’

“Tapi, aku bukan datang ni nak ambil kuasa kau.” Tambah Nekora. Fumiko memandangnya lama. Nekora mendekatinya.

“Aku datang nak lihat rupa kau, dan bagi amaran agar kau jangan cuba untuk mendekati Rikuto lebih-lebih. Ingat, kau tu manusia. Manusia dan raksasa tak boleh hidup bersama. Kalau aku tahu kau orang ada apa-apa nanti siaplah. Aku akan cari kau dulu.” Nekora memberi amaran. Jari-jemarinya dengan kuku yang panjang itu ralit menyentuh wajah Fumiko. Tiba-tiba Fumiko tertawa kecil.

“La, sebab tu saje? Puteri Nekora janganlah risau. Kalau kau tunang dia pasti kau tahu macam mana layanan dia terhadap manusia. Jadi kau tak usah bimbang pun.” Fumiko cuba memberi penjelasan. Dia berundur sedikit daripada Nekora.

“Aku bukan risau kerana kau adalah manusia, tapi aku risau kerana kau adalah perempuan.” Fumiko terdiam mendengar kata-kata Nekora. ‘Perempuan ni memang cemburu terlebih.’ Getus hati Fumiko.

“Yalah, perempuan semua sama je bagi aku. Tak kira makhluk dan kaum. Kalau kau tak mahu kehilangan kuasa bintang kau di tangan aku, jangan cuba-cuba mendekati Rikuto sangat.” Nekora mengeluarkan amaran kali kedua. 

“Err… Ya, aku faham, Ne..kora!” Fumiko cuba sedaya-upaya untuk tidak menaikkan darah gadis itu. Mendengar kata-kata Fumiko, Nekora tersenyum simpul. Dia suka apabila orang takut padanya. Dia berpaling ke belakang.

“Selamat tinggal, Fumiko. Tapi ini bukan yang terakhir. Suatu hari nanti kita akan jumpa lagi. Aku yakin pada waktu itu, kita tak akan bercakap baik begini. Sebaliknya, mungkin kita akan berlawan.” Habis berkata, Nekora menguntumkan senyuman jahatnya sebagai tanda pemergiannya kepada Fumiko. Kemudian dia melompat dan berubah menjadi seekor kucing kecil. Dia kemudiannya pergi dan menghilang.

‘Humph! Nekora, ya? Aku tau itu bukan tujuan sebenar kau datang jumpa aku. Tapi kerana kuasa aku. Sebenarnya, dia memang mahu berlawan dengan aku dari mula lagi. Tapi dia dapat kesan tenaga yang sangat kuat daripada aku kerana kuasa bintang ini. Sebab itu dia tak rasa dia boleh menang kalau lawan dengan aku. Walaupun, aku belum dapat mengaktifkan kuasa aku, aku masih boleh rasa tenaga aku di seluruh badan aku dan juga makhluk lain. Tenaga Nekora tak cukup kuat untuk lawan aku. Nampaknya, aku perlu cuba berlatih lagi untuk mencapai kuasa aku.’ Getus hati Fumiko. Sebaik mengemas lokernya, dia pun pulang ke rumah.


AAARGGHH!!! Aku dah putus asa!” Fumiko menghempaskan tubuhnya ke atas katil. Sudah 3 jam dia duduk bertafakur, bermeditasi, dan bermacam lagi, tapi dia masih gagal mengaktifkan kuasanya. ‘Macam senang nak aktifkan kuasa bila bermeditasi tapi tak jadi apa pun. Kalau begini, macam mana aku nak lawan perempuan kucing yang berlagak nak mampus tu?’

Fumiko bangun dan duduk bersila atas katil, menyelak rambutnya. ‘Mungkin, Seryoku no hoshi salah pilih tuan, kot? Mungkin aku tak layak memegang kuasa ini. Kalau aku terus pegang kuasa ini tanpa tahu cara menggunakannya, baik bagi orang lain. Nanti susah aku asyik dikejar raksasa tapi tak boleh lawan. Atau…. Aku bagi Rikuto saja lah! Lepas tu aku boleh lupakan semua benda pelik ni, dan Rikuto tak perlu lagi ke sekolah manusia yang dia benci tu.’ Fumiko memetik jarinya. Kali ini dia pasti keputusannya akan diterima Rikuto.

“Kak Fumi,” Kelihatan kepala Kohaku terjegil di depan pintu biliknya.

“Ada apa, Kohaku?” Fumiko bertanya.

Kohaku tersenyum simpul kemudian menjawab “Teman lelaki kakak di luar.” Terbuntang mata Fumiko mendengar kata-kata Kohaku. Fumiko bergegas keluar dari biliknya. Dalam hatinya, dia menyumpah lelaki yang datang itu kerana pasti hal ini akan diketahui ibunya dek kerana mulut becok adiknya itu. Kohaku bersandar pada pintu bilik kakaknya sambil memeluk tubuh. Wajahnya kelihatan kurang senang. 

Fumiko membuka pintu rumahnya. Seperti yang di jangkakan, lelaki tersebut adalah Rikuto. Walaupun dia hanya memakai kemeja lengan pendek berkolar yang santai, masih terserlah karisma lelaki itu.

Fumiko mengeluh. “Ada apa kau datang ni?”

“Aku nak tau perkembangan Seryoku no hoshi. Ada apa cerita?” soal Rikuto. Fumiko menggelengkan kepalanya. Rikuto faham maksud Fumiko lalu melepaskan  nafas yang panjang.

“Apa pun, masuklah dulu. Aku hidangkan air.” Pelawa Fumiko. Fumiko tahu Rikuto masih ingat dalam rumahnya kerana pernah datang ke situ pada hari pertama mereka bertemu.

Rikuto masuk dan duduk di sofa tetapi masih mendiamkan dirinya. Entah apa yang difikirkannya. Fumiko masuk ke dapur. Kohaku turun dari tangga dan duduk di sofa bertentangan Rikuto.

“Abang ni siapa?” Kohaku memulakan penyiasatannya. Dalam hatinya, dia sangat hairan kerana tidak menyangka kakaknya yang tidak berapa cantik itu ada teman lelaki yang kacak.

“Seorang putera.” Jawab Rikuto. Wajahnya masih tidak menunjukkan sebarang reaksi. Kohaku ketawa dalam hati mendengar jawapan Rikuto. ‘Dia ingat aku budak lagi untuk percaya jawapan macam tu? Tak apa, kalau dia nak main, aku pun ikut lah.’

“Kalau abang seorang putera, mana kerajaan abang?” tanya Kohaku lagi.

 “Di atas langit.” ‘Kah! Kah! Kah! Kah!’ Kohaku ketawa terbahak-bahak di dalam hati. ‘Apa lagi aku nak tanya?’

“Abang ada istana?” Kohaku bertanya lagi.

“Ada di atas langit.” Jawab Rikuto selamba. Kohaku semakin hairan dengan lelaki itu. ‘Imaginasi yang terlalu tinggi mengalahkan budak-budak.’

“Abang akan berkahwin dengan puteri mana?” Kali ini Kohaku pasti Rikuto susah sikit untuk jawab soalannya.

“Tak ada siapa. Aku tak akan kahwin sampai bila-bila.” Kohaku terkedu. Dia fikir dia dapat memerangkap Rikuto tetapi dia silap. Fumiko yang telah siap membancuh air terdengar perbualan mereka. Dalam hatinya hairan kerana dia ingat Nekora pernah memberitahunya bahawa Nekora dan Rikuto adalah pasangan bertunang.

“Ini airnya.” Fumiko muncul dengan dulang berisi teko dan tiga cawan. Dia meletakkannya berhati-hati di atas meja kopi. Kemudian dia menuangkan air. Kohaku sedar yang Rikuto tidak melepaskan pandangannya kepada Fumiko semasa meletakkan cawan dan teko.

“Duduklah.” Fumiko memandang Rikuto. “Ada benda aku nak cakap.” Tambah Rikuto.

Fumiko mengerling pada Kohaku. “Mungkin kau perlu beredar kejap.” Arah Fumiko supaya adiknya memberikan sedikit privasi.

“Tak nak, korang cakap je lah apa-apa, orang tak akan kacau.” Kohaku melawan.
“Tapi kau tak payah sibuk mendengar. Ini urusan kami. Pergilah, kejap je.” Fumiko cuba mengawal suaranya. Kalau tidak disebabkan Rikuto, mahu sahaja dia menengking adiknya itu seperti biasa dia lakukan.

“TAK MAHU! Kohaku akan duduk sini dan tak kacau…” “Kenapa kau susah nak dengar arahan!?” kata-kata Kohaku dipotong dengan sergahan Rikuto. Kohaku dan Fumiko terkejut dengan tindakan Rikuto. Kohaku hampir menangis dek kerana raut wajah Rikuto yang menakutkan. Walaupun Rikuto tidak menengkingnya, tetapi kerana ketegasan lelaki itu, Kohaku patuh lalu beredar ke biliknya dan tidak lupa untuk menghempas pintu. 

“Budak-budak.” Ujar Fumiko lalu mengambil tempat Kohaku tadi. Rikuto masih mendiamkan diri.

“Apa yang kau nak cakap?” soal Fumiko.

“Mengenai Seryoku no hoshi, aku cuma nak tanya kalau kau perlukan mana-mana guru untuk mengajar kau.” Ujar Rikuto.

“Sebenarnya, Rikuto. Aku dah fikir pasal ni. Aku…” Fumiko sedikit teragak-agak untuk menyatakan hasratnya. Kemudian dia menarik nafas dalam-dalam.

“Aku tak nak kuasa ni.” Akhirnya dia berjaya meluahkan hasratnya. Sekarang dia menunggu reaksi Rikuto.

Tiba-tiba Rikuto ketawa. Fumiko terkejut dengan tindakan Rikuto. “Ke, kenapa kau ketawa pula?” Fumiko tidak faham dengan Rikuto. ‘Aku buat lawak ke?’

“Hai, aku dah agak manusia macam kau ni memang lemah, dan senang putus asa. Kalau tak dapat apa yang dihajatkan terus putus asa. Aku rasa Seryoku no hoshi kali ini pilih orang yang salah.” Kata Rikuto sambil tersengih. Entah kenapa Fumiko terasa marah dan kecil hati mendengarkan sindiran Rikuto itu. Walaupun apa yang dikatakan itu betul, tetapi muka Fumiko terasa panas. Anginnya naik ke kepala.

“Betul tu!” tegas Fumiko sambil menundukkan wajahnya. Rikuto memandangnya.

 “Cakaplah apa kau nak cakap pasal manusia! Apa yang kau fikir mengenai manusia memang betul sangatlah bila kau lihat semuanya daripada aku seorang, kan? Padahal ada berjuta lagi manusia di luar sana dan kau hanya menilai manusia berdasarkan aku sahaja. Kalau macam tu, aku boleh kata semua raksasa ni tak guna, sombong, bencikan manusia, dan pentingkan kuasa saja. Raksasa lelaki atau perempuan sama saja, tambah lagi si kucing tak guna tu!” Fumiko menahan air matanya dari mengalir. Dia terasa malu kerana Rikuto menilai manusia berdasarkan dia seorang saja. Sangat tak adil!

“Siapa ‘kucing tak guna’ itu?” tiba-tiba Rikuto membuka mulut. Fumiko mengangkat wajahnya memandang mata Rikuto. 

“Err…Kucing? Aku cakap apa?” Fumiko berasa serba salah dan takut apabila melihat raut wajah Rikuto yang serius itu. ‘Alamak, patutkah aku beritahu yang tunangnya jumpa aku?’

“Emm… Tunang kau, Puteri Nekora. Dia jumpa aku di sekolah.” “Dia buat apa kat kau? Ada tak dia lawan kau? Dan kenapa dia kata dia tunang aku?” soal Rikuto bertubi-tubi. Fumiko mengerutkan dahinya. ‘Hai, tunang sendiri pun tak tahu?’

“Dia, cuma bercakap dengan aku. Kononnya nak tengok muka aku dan bagi amaran supaya…” Fumiko menelan air liur. Rikuto menunggu ayat seterusnya dari Fumiko. “Supaya aku menjauhi kau.”
 dian ketawa kecil. “Lah, itu saja ke?”

“Itu je lah yang dia cakap. Sekarang, aku takut kalau aku terserempak dengan dia lagi dan aku tak boleh lawan dia. Aku rasa baik kau ambik kuasa ni. Buat apa bagi aku simpan kalau aku tak reti guna.” Balas Fumiko.

“Tak, tak. Sekarang dia dah kenal kau, kau kena juga belajar mengaktifkan kuasa tu. Si Nekora tu tak peduli raksasa atau manusia dia bunuh saja perempuan yang dekat dengan aku. Cemburu terlebih dia tu.” Ujar Rikuto dengan nada marah.

“Jadi, aku perlu menjauhi kau ke?” Fumiko bertanya. Dia benar-benar takut kerana dia akan menjadi sasaran Nekora.

“Tak payah, pedulikan dia. Kau hanya perlu fokuskan kuasa kau dan cara nak aktifkannya.” Kata Rikuto sambil bangun berdiri.

“Eh, nak balik dah ke?”

“Yalah, tak ada kerja lagi aku nak duduk sini. Lagipun aku belum buat latihan Sejarah.” Rikuto sengaja mengungkit kerja sekolah yang dia benci. Kerana bersekolah di dunia manusia, dia terpaksa belajar menjadi manusia dan mendapat tekanan seperti pelajar manusia.

Fumiko ketawa mendengarnya. Rikuto seolah-olah berlagak macam pelajar normal. Rasa kelakar  dan kasihan pun ada. Tapi nak buat macam mana, dah tugas dia sebagai pelindung Fumiko. Itupun, Rikuto juga bencikan tugasnya kerana terpaksa menjadi manusia.

“Apa pun, kerja sekolah tu pastikan siap cepat-cepat. Nanti cikgu marah esok. Lagi satu kalau jumpa dengan tunang kau, beritahu aku kirim salam.” Sengaja Fumiko menyebut Nekora untuk melihat reaksi Rikuto. Ternyata Rikuto memandangnya tajam sebelum memusingkan tombol pintu.

“Ingat, Nekora tu bukan tunang aku. Dia yang perasan terlebih. Malah, kami tiada apa-apa hubungan pun, kalau kau nak tahu. Jadi, jangan  risau pasal dia lagi. Aku cuba bereskan nanti.” Nasihat Rikuto. Fumiko menghadiahkan senyuman manis bagi mengiringi pemergian Rikuto.

No comments:

Post a Comment